Posts tagged "Mazlan Abbas"

Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kejuruteraan Elektrik) – Dr. Mazlan Abbas Pada Konvokesyen UTHM Ke-17

October 14th, 2017 Posted by NEWS 0 thoughts on “Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kejuruteraan Elektrik) – Dr. Mazlan Abbas Pada Konvokesyen UTHM Ke-17”

Mazlan bin Abbas dilahirkan di Johor Bahru, Johor pada 23 Januari 1961. Beliau merupakan anak bongsu kepada pasangan Abbas bin Abdul Wahab dan Hamidah binti Jaafar dan dibesarkan dalam keluarga yang sederhana dengan sembilan orang adik beradik, iaitu enam lelaki dan tiga perempuan. Bapanya bekerja sebagai seorang kerani pada siang hari, manakala pada sebelah malam, beliau mengambil upah membaiki televisyen dan radio di belakang rumah. Ibunya pula merupakan seorang suri rumah sepenuh masa.

 

Mazlan mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Ngee Heng, Johor Bahru, Johor. Setahun kemudian, beliau telah berhijrah ke Kuala Lumpur dan bersekolah di Sekolah Rendah Jalan Raja Muda, Kampung Baru, Kuala Lumpur. Seterusnya, beliau bersekolah di Ampang Road Boy’s School, Kuala Lumpur, yang kini dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Ampang dari tahun 1974 hingga 1978. Pada zaman persekolahan, beliau aktif dan sentiasa mengungguli sukan badminton di peringkat kumpulan Jalan Ampang Jaya dan mewakili sekolah bertanding menentang lagenda jaguh badminton negara, iaitu Dato’ Mohammad Razif bin Dato’ Haji Mohd Sidek, yang pada ketika itu turut menjadi wakil sekolahnya.

 

Mengagumi kecekalan dan kemampuan bapa membaik pulih televisyen dan radio walau tanpa menghadiri sebarang kursus atau mempunyai pendidikan formal, kesungguhan ini menjadi inspirasi yang mendorong dan mempengaruhi beliau untuk meminati serta mendalami bidang kejuruteraan elektronik.

Pada tahun 1979 hingga 1984, Mazlan telah melanjutkan pengajian ijazah pertamanya dalam bidang Kejuruteraan Elektrik (Komunikasi) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

 

Dengan tekad dan iltizam yang tinggi untuk mengubah kehidupan serta semangat untuk membantu keluarga, beliau meneruskan perjuangan dengan penuh kesungguhan. Ujian menimpa apabila bapanya telah pergi menghadap seruan Ilahi. Dugaan terus hadir apabila ibu beliau juga telah diuji dengan penyakit angin ahmar sejurus pemergian bapa yang dikasihi.

Dengan penuh kesukaran dan cabaran, Mazlan berjaya mengharungi pengajian sarjana muda dengan cemerlang dan akhirnya berjaya menamatkan pengajian dengan kepujian kelas pertama. Atas kecemerlangan ini, sejurus selesai pengajian, beliau telah memulakan kerjaya sebagai pembantu pensyarah di UTM pada Julai 1984. Tetapi, langit tidak selalu cerah, keinginan beliau yang tinggi untuk berbakti kepada ibu diuji lagi apabila ibu pula kembali ke rahmatullah.

 

Keinginan Mazlan untuk melanjutkan pengajian ke luar negara telah lama tersimpan kemas dalam diri. Pada tahun 1985, impian ini menjadi kenyataan apabila beliau berjaya dianugerahkan Biasiswa Komanwel untuk melanjutkan pengajian Sarjana Sains dalam bidang Telematik di University of Essex, United Kingdom. Berada di rantau orang walau hanya sekitar sembilan bulan dimanfaatkan sepenuhnya dan pelbagai pengalaman yang menajamkan kemahiran diri diasah rapi.

 

Sebagai seorang ahli akademik, keazaman untuk melanjutkan pengajian akademik tertinggi berkobar-kobar dalam diri beliau. Akhirnya beliau memutuskan untuk menyambung pengajian doktor falsafah di dalam negara sahaja. Di UTM, beliau diselia oleh Profesor Emeritus Ir. Dr. Zainal Abidin bin Ahmad. Mazlan merupakan antara pelajar doktor falsafah terawal menjalankan kajian dalam bidang Kejuruteraan Elektrik (Telekomunikasi) di UTM. Kemudahan yang terhad tidak mematahkan semangat beliau. Cabaran yang ditangani dengan sikap positif dan tidak mudah mengalah.

 

Dalam menyelesaikan pengajian doktor falsafah, beliau turut merantau ke luar negara untuk mendalami ilmu, antaranya ke University of Strathclyde , Scotland, United Kingdom selama enam bulan dan ke Jepun selama dua Beliau tidak malu untuk mengakui bahawa peranan dua individu penting dalam kejayaan doktor falsafah beliau, iaitu Zhisheng Niu, seorang pelajar doktor falsafah dan Profesor Akimaru dari Universiti Toyohashi, Jepun, tanpa jemu memberikan bantuan dan semangat.

Pada tahun 1993, selepas tiga tahun tiga bulan bertungkus lumus meneroka ilmu, akhirnya ijazah doktor falsafah dalam bidang Kejuruteraan Elektrik (Telekomunikasi) menjadi milik beliau dan melakar sejarah apabila menjadi graduan PhD pertama dari UTM.

 

Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, minat serta kesungguhan bapa beliau terhadap ilmu elektronik yang diperolehi menerusi pembelajaran kendiri dan gambarajah model litar yang diperolehi dari kedai-kedai televisyen turut diwarisi oleh beliau. Majalah Practical Wireless Edisi 1968 dan Buku Berjilid Basic RadioEdisi 1969 merupakan antara koleksi yang masih tersimpan rapi. Hobi membaca buku-buku teknikal dan fiksyen sejak kecil bukan sesuatu perkara yang sia-sia dan merugikan, malah masih kekal dilakukan sehingga ke hari ini.

Kesibukan tugas tidak menjadi halangan kepada beliau untuk meneruskan minat membaca. Bukan sekadar membaca, demi kelangsungan ilmu beliau akan berkongsi apa yang telah dibaca bersama rakan di media sosial dan di Blog beliau. Beliau percaya bahawa ilmu tidak akan berkembang jika tidak dikongsikan. Beliau juga seorang yang suka merantau, sangat gemar dengan aktiviti yang melibatkan teknologi serta mempunyai minat yang meluas dalam bidang fotografi makro.

Pengalaman hidup dan latar belakang keluarga banyak mempengaruhi pembawaan diri. Beliau sangat suka membantu dan memberi tunjuk ajar kepada sesiapa yang memerlukan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Ini dapat menjadi saham akhirat buat ayah dan ibunya yang telah kembali ke rahmatullah dan juga amal jariah buat diri beliau kelak apabila jasad tidak lagi dikandung badan.

 

Mazlan merupakan bapa kepada tiga orang anak hasil perkahwinan dengan Lili Suhana binti M. Yusoff pada tahun 1985. Isteri beliau pernah bekerja di Telekom, Malaysia dan merupakan seorang suri rumah sepenuh masa pada ketika ini. Anak sulung (Nurulhasanah) dan anak kedua (Mohammad Hasbullah) beliau masing-masing sedang mengikuti pengajian doktor falsafah di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dalam bidang Sains Komputer dan Kejuruteraan Elektronik Komunikasi. Anak bongsu beliau (Muhammad Hanif) pula kini sedang mengikuti pengajian sarjana muda bidang Sains Komputer di Limkokwing University. Anak kedua beliau telah berumah tangga dengan Puteri Nur Syamimi binti Abdul Samat dan kini dikurniakan seorang cucu bernama Muhamad Harris bin Mohammad Hasbullah.

Bercita-cita sejak kecil untuk menjadi seorang saintis dan ingin sekali mencipta sebuah robot, kini perjalanan kerjaya Mazlan yang lebih daripada 30 tahun merentasi pelbagai perkara. Antaranya ialah penyelidikan dan pembangunan, inovasi dan solusi produk, pengurusan teknologi, operasi rangkaian dan juga sebagai ahli akademik. Hari ini, beliau boleh berbangga kerana cakupan pengalaman beliau yang sangat unik membawa impak tersendiri, kerana beliau pernah berkecimpung dalam dunia akademik, sektor kerajaan dan juga industri.

 

Kini hasrat untuk melihat perkembangan pesat Internet of Things (IoT) di Malaysia dan untuk merealisasikan impian sebagai seorang usahawan, beliau dan rakan-rakan telah menubuhkan Favoriot Sdn. Bhd. pada April 2017. Berdasarkan pengalaman yang luas, beliau telah diberi kepercayaan untuk memikul tanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Favoriot Sdn. Bhd. yang menawarkan platform bersepadu IoT yang boleh dimanfaatkan semua golongan di Malaysia. Harapan Favoriot Sdn. Bhd. untuk menghasilkan produk yang dapat membantu warga emas memantau tahap kesihatan dan kehidupan seharian.

 

Kini, Mazlan dan pasukannya berjaya menghasilkan platform IoT Favorhealth yang berfungsi untuk mengawal dan memantau maklumat kesihatan serta keselamatan pesakit. Dengan inovasi Favorwatch, iaitu peranti boleh pakai yang mampu untuk memantau beberapa maklumat kesihatan warga emas seperti denyut nadi, bilangan langkah, lokasi menerusi aplikasi telefon mudah alih berjaya memberikan manfaat kepada komuniti. Selain itu, terdapat juga platform IoT dinamakan Favorsense yang membolehkan orang awam membina komuniti dan bandar yang sejahtera.

Beliau juga yakin, menerusi idea ini akan dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada para graduan. Ini juga dapat menjadikan Malaysia bukan hanya pengguna IoT tetapi sebagai antara pemain utama.

 

Sebelum mengasaskan Favoriot Sdn. Bhd., beliau telah berkhidmat selama dua tahun setengah di REDtone IoT, syarikat yang menerajui bidang telekomunikasi bersepadu dan perkhidmatan infrastruktur digital di Malaysia sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif. Beliau merupakan tulang belakang kepada kejayaan dalam melaksanakan projek platform CitiSense Smart City IoT dan aplikasi CitiAct yang bertujuan untuk membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) menyelesaikan masalah setempat.

 

Selain itu, beliau telah berkhidmat selama lapan tahun di MIMOS Berhad sebagai Pengarah Kanan, Kluster Komunikasi Wayarles, yang bertanggungjawab untuk memimpin, mengatur strategi dan menguruskan aktiviti penyelidikan dan pembangunan berkaitan dengan bidang komunikasi wayarles dan IoT. Sepanjang perkhidmatan di MIMOS Berhad, beliau telah berjaya membangunkan 39 prototaip penyelidikan (meliputi projek-projek seperti IPv6, WSN, WiMAX, IMS, 6LoWPAN, IoT, HetNet, Cognitive Radio, Mobile Cloud), 130 IP Disclosures, dan 27 Paten. Beliau telah merintis dalam penghasilan produk wayarles yang telah dipatenkan oleh MIMOS Berhad sebagai WiWi dan telah dikomersilkan di beberapa lokasi seperti di Kampung Tanpa Wayar (KTW) – Inisiatif Jalurlebar Kebangsaan, River Thames, London, Gloria Jeans, MyPutras, GIRN Network dan Melaka Smart City.

Beliau juga pernah berkhidmat di syarikat telekomunikasi Celcom selama 13 tahun dan memegang pelbagai jawatan di bahagian penyelidikan dan pembangunan seperti pengurus kanan dan naib presiden. Antara tanggungjawab beliau di Celcom adalah berkaitan dengan perancangan, penyelidikan, pembangunan, operasi dan penyelenggaraan infrastruktur perkhidmatan tambah-nilai seperti SMS, VMS, UMS, IPT, WAP dan juga ISP.

Sebelum berkhidmat di Celcom, beliau merupakan pembantu pensyarah (1984-1986), pensyarah (1986-1993) dan profesor madya (1993-1994) di UTM selama 10 tahun. Beliau telah berjaya membangunkan prototaip sistem pensuisan dan juga berjaya menterjemah buku oleh John Ronayne bersama rakan beliau, Liza Abdul Latif dengan tajuk Pengenalan Kepada Pensuisan Perhubungan Digital. Semangat ingin tahu yang tinggi terhadap dunia industri yang dikatakan terlalu sukar pada ketika itu, telah mendorong Mazlan untuk beralih dari bidang akademik ke dunia industri.

 

Di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Mazlan telah menabur bakti sebagai Profesor Adjung di Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), UTHM selama hampir enam tahun. Beliau telah memberikan sumbangan besar kepada Fakulti dalam aspek pembangunan akademik dan penyelidikan. Peranan beliau telah secara langsung telah membantu program-program akademik FKEE diiktiraf oleh Lembaga Jurutera Malaysia. Sumbangan beliau diteruskan dan kini merupakan ahli panel penasihat industri FKEE. Selain di UTHM, beliau juga menyumbang bakti dan kepakaran di beberapa Universiti lain seperti Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), UTM, UTeM, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Multimedia (MMU) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

 

Sebagai individu yang pakar dalam bidang IoT, beliau dijemput sebagai pembentang ucaptama dan sebagai panel sama ada di dalam mahupun di luar negara. Beliau telah menduduki tempat ke-50 bagi Most Impactful Smart Cities Leaders oleh World CSR 2017 lanjutan idea beliau dalam membangun bandar pintar. Beliau juga berada di kedudukan ke-20 oleh 2014 Onalytics Reports untuk The Internet of Things – Top 100 Thought Leaders. Tambahan lagi, beliau juga menduduki tangga 10 teratas dalam IoT Top 100 Influencers oleh Postscapes 2017dan menduduki kedudukan 100 teratas dalam Smart Cities Top Experts oleh Agilience Authority Index May 2016.

 

 

Bidang IoT semakin berkembang pesat dan merupakan salah satu teras dalam Revolusi Industri 4.0 (IR4.0). Kepakaran Mazlan di dalam bidang IoT secara langsung menjadi penyumbang kepada perkembangan IR4.0 di Malaysia. Beliau percaya bahawa generasi muda mesti dipersiapkan dengan pengetahuan dan perubahan minda bagi menghadapi cabaran dunia yang semakin kompleks. Insiatif beliau membawa IoT kepada Universiti semakin berhasil, apabila 16 Universiti telah bersama-sama menyatakan komitmen membentuk generasi IoT.

 

Bagi menghargai penglibatan dan sumbangan beliau dalam dunia pendidikan tinggi, industri, komuniti dan kepimpinan teknologi dan inovasi, maka bersempena Majlis Konvokesyen Kali ke-17, UTHM dengan penuh penghormatan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kejuruteraan Elektrik) kepada Dr Mazlan bin Abbas.

(Teks Penuh dari Buku Istiadat Konvokesyen Universiti Tun Huessein Onn Malaysia ke-17 pada Oct. 14, 2017)

Artikel dalam Akhbar:

  1. NST – 8 Oktober , 2017 
  2. BH Online – 15 Oktober, 2017
  3. BH Online – 14 Oktober 2017
  4. Video menerima Watikah dari DYMM Sultan Johor – Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kejuruteraan Elektrik)
SULTAN Ibrahim Iskandar berkenan menyampaikan Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kejuruteraan Elektrik) kepada Dr Mazlan Abbas (kanan) pada Konvokesyen UTHM ke-17 di Dewan Sultan Ibrahim, UTHM Batu Pahat. – Foto Adi Safri (Berita Harian)
SULTAN Ibrahim Iskandar berkenan menyampaikan Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kejuruteraan Elektrik) kepada Dr Mazlan Abbas (kanan) pada Konvokesyen UTHM ke-17 di Dewan Sultan Ibrahim, UTHM Batu Pahat. – Foto Adi Safri (Berita Harian)

Are We Ready for IoT Now? Or Risk Being Left Behind.

September 22nd, 2017 Posted by BLOG, IOT PLATFORM 0 thoughts on “Are We Ready for IoT Now? Or Risk Being Left Behind.”

Next Invited Talk at Kulliyyah of Engineering, IIUM Gombak. The seminar is considered as a forum for interaction of the college community, the industry as well as other academic institutions on both the practical and the R&D to IIUM students.

The details of the seminar session are as follows:

  • Date: Sept. 29m 2017 / Friday
  • Time: 3.00pm to 5.00 pm
  • Venue: Kulliyyah of Engineering, IIUM Gombak

Awareness of IoT Platform and Applications

September 20th, 2017 Posted by BLOG 0 thoughts on “Awareness of IoT Platform and Applications”

Next Invited Talk at the German-Malaysia Institute. This sharing session will trigger the understanding and interest among the GMI staffs about the Internet of Things (IoT) and our directions towards the Industry 4.0.

  • Date: Wednesday, 27th Sept. 2017
  • Venue: GMI Auditorium
  • Time: 9.00 am

UPDATED (With Event Photos, Sept. 27, 2017)

Copyright © 2024 All rights reserved